Langsung ke konten utama

TERBELAKANG NASIB RAKYAT PAPUA


TAHUN 2017 sudah masuki sebulan setengah. Akibat daripada kesan kemelesetan tahun lalu, ekonomi negara kita nampaknya masih belum berada dalam kedudukan yang kukuh. Kata pakar ekonomi, tahun 2017 adalah tahun mencabar bagi Malaysia.
Apa tidaknya, belum habis tempoh dua bulan, macam-macam kita sudah dengar sama ada di warung kopi, pusat membeli belah, pejabat hatta di laman-laman sosial yang sentiasa online siang dan malam.
“Harga barang semakin hari semakin mahal! Harga minyak naik lagi! Kenapa kena bayar GST? Kenapa nilai ringgit jatuh lagi?…”
Semuanya bernada marah dan tidak puas hati tatkala cerita pasal harga barang naik. Ada yang marah kepada peniaga dan tidak kurang yang menuduh kerajaan kerana tidak bela rakyatnya. Kerajaan dikutuk sampai mahu tukar kerajaan baharu? Boleh. Kena tunggu pilihan raya sajalah!
Siapa sebenarnya yang mampu mengatasi segala kemelesetan ini? Ahli perniagaan? Ahli ekonomi? Perdana Menteri dan jemaah Kabinet? Atau kita-kita sendiri sebagai rakyat biasa yang sentiasa mengharap ada sinar di hujung terowong?
Kenapa Malaysia sudah menjadi sedemikian rupa? Tidak keterlaluan kalau mengatakan rakyat jelata, terutama sekali golongan bawah dan pertengahan paling terkesan serta tertekan dihimpit kos hidup yang terlampau tinggi seperti apa yang dialami pada hari ini.
Rakyat mahu harga minyak petrol seboleh-bolehnya diturunkan lagi. Menteri kata, kerajaan sedia tambahkan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kalau harga minyak petrol naik sampai RM3 seliter. Kalau diberi pilihan, rakyat tentunya mahu harga petrol turun daripada tambah wang BR1M !
Perlu ingat, bukan semua rakyat berhak dapat BR1M. Sebaliknya, semua rakyat akan menderita apabila harga minyak petrol naik !
Selagi keadaan ekonomi terus merudum, selagi itulah golongan yang berpendapatan kecil tidak termampu mengimbangi kadar kenaikan harga barang dan perbelanjaan harian yang terus meningkat.
Bagi yang memiliki kereta, mereka bukan sahaja terpaksa membeli barang keperluan dengan harga yang lebih mahal, malahan tertekan pula harga minyak petrol yang sudah naik 40 sen seliter dalam tempoh dua bulan terakhir ini. Itu pun bayaran tol belum dikira lagi.
Yang tidak ada motosikal atau kereta, terpaksalah naik bas, teksi atau LRT. Harga tambang pun bukan main mahal lagi untuk ditanggung oleh golongan yang kurang berkemampuan seperti mereka.
Kerajaan memang menyedari keadaan dialami golongan kurang berpendapatan ini.
Maka diperkenalkan pemberian wang seperti BR1M dan menyediakan kos rumah murah, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima) untuk membolehkan golongan ini menikmati kehidupan dengan senang.
Namun, soalnya, apakah wang BR1M ini cukup untuk membayar perbelanjaan harian? Apakah rumah Prima disediakan dengan secukupnya kepada semua golongan yang memerlukan? Sudah semestinya tidak.
Yang paling mendukacitakan adalah golongan pertengahan. Mereka tidak boleh mohon BR1M mahupun Prima kerana tidak cukup syarat. Mereka nak kata kaya, tidaklah kaya sangat; nak kata miskin, tidaklah miskin sampai papa kedana.
Bukan kerajaan tidak sedia bantu, namun setiap kali bajet dibentangkan di parlimen, setiap kali itulah mereka pasti terpinggir dan tidak dapat apa-apa!
Barangkali golongan inilah yang menjadi majoriti yang paling kerap mengeluh, marah dan membidas kerajaan kerana mendakwa mereka sentiasa dianaktirikan oleh kerajaan. Kerajaan perlu sedia mendengar suara hati golongan ini, yang kebanyakannya adalah terdiri daripada ‘golongan miskin bandar’.
Sebagai manusia, kita sentiasa inginkan kehidupan boleh berubah menjadi lebih baik. Selain bekerja keras menambahkan pendapatan, harapan juga disandarkan kepada kerajaan.
Pada kerajaanlah rakyat harapkan. Rakyat mahu harga barang makanan dan apa juga barang keperluan jangan naik dengan sewenang-wenangnya. Tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab perlu dikenakan.
Belum habis dicengkam dan diterkam masalah kenaikan harga barang dan minyak petrol, datang pula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dipercayai mampu membawa hasil pendapatan yang tinggi kepada negara.
Pada tahun lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mengutip hasil GST sebanyak RM41.2 bilion, berbanding dengan sasaran yang ditetapkan iaitu RM39 bilion.
Tahun 2017, sasarannya ialah antara RM40 bilion hingga RM42 bilion. Pada tahun 2015, kerajaan berjaya memperoleh hasil GST sebanyak RM27.1 bilion hanya dalam tempoh sembilan bulan.
Maka ahli-ahli politik pembangkang dan rakyat jelata pun tertanya-tanyalah kerajaan sepatutnya banyak wang tetapi kenapa taraf hidup rakyat masih gagal ditingkatkan.
Itu belum dicampurkan lagi wang hasil pendapatan melalui Petronas. Jika dicampurkan hasil Petronas pada tahun lalu, iaitu sebanyak RM31.7 bilion dan GST RM41.2 bilion, kerajaan sudah ada RM72.9 bilion. Namun, rakyat terus merungut – negara dapat duit banyak sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat.
Sesebuah kerajaan akan terus disokong dan tidak perlu bimbang kalah pada pilihan raya sekiranya ia benar-benar berkhidmat serta berprihatin terhadap nasib rakyatnya.
Dari segi kemudahan awam, lalu lintas, kos hidup, keharmonian masyarakat, kebersihan, jenayah hinggalah kepada suasana politik, sekiranya kerajaan dapat mewujudkan persekitaran yang terpuji, nescaya bukan sahaja rakyat dapat hidup dengan lebih selesa, malahan negara akan terus maju dan dihormati.
Inilah harapan rakyat Malaysia kepada kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malangnya, ketika suasana ekonomi negara sedang bergelut untuk berada di landasan yang kukuh, masalah rasuah pula semakin hari semakin serius sehingga gagal dikawal.
Harapkan pegar, pegar makan padi. Bukan sahaja semakin ramai ketua dan pegawai tinggi jabatan kerajaan yang ditahan membabitkan kesalahan, malahan jumlah wang suapan mencecah jutaan ringgit dengan bersembunyi di dalam rumah sendiri.
Bukan itu sahaja, rumah, kereta mewah dan pelbagai barangan kemas turut dibeli dengan menggunakan ‘wang haram’ yang diperoleh.
Maruah dan imej negara semestinya tercalar setiap kali pendedahan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Rakyat pastinya tidak mampu menanggung malu lagi.
Sementara rakyat terus bertungkus-lumus mencari rezeki, kerajaan juga mesti berusaha menaikkan taraf hidup rakyat. Kerajaan yang gagal bakal mengalami nasib buruk apabila rakyat membuat pilihan pada pilihan raya umum.
Ramai yang ternanti-nanti bila pilihan raya akan diadakan? Ketika negara bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke 60 tahun pada tahun ini, timbul dua pertanyaan yang sedang bermain di fikiran.
Pertama, mampukah BN mempertahankan tampuk pemerintahan lagi dan kedua apakah nasib rakyat telah terbela oleh kerajaan selama ini?
Ibarat kata peribahasa, tepuk dada tanya selera.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

MASYARAKAT LANNY JAYA PAPUA SUKU DANI LANI

FHOTO SUKU DANI AND LANI LEMBAH BALIEM PAPUA LANNY JAYA

Bukti Cinta Masyarakat Lanny jaya Papua Pada Indonesia

PIMPINAN AKSI DETIUS YOMAN Siapa bilang Papua ingin merdeka?? Siapa bilang masyarakat Papua ingin berpisah dari NKRI?? Ini hanyalah kebohongan publik yang sering diungkapkan oleh Tokoh OPM Benny Wenda, tidak hanya di Papua saja akan tetapi sampai ke luar negeri. Semakin gencarnya provokasi di wilayah Papua oleh Komite Nasional Papua Barat (KNPB), semakin kuat juga perlawanan masyarakat Papua di berbagai wilayah untuk menentang organisasi terlarang tersebut.   

Peraturan Kepala BPHN Ttg Pembentukan dan Pembinaan Kelompok Kadarkum dan Desa Sadar Hukum

PERATURAN KEPALA BADAN PEMBINAAN HUKUM NASIONAL DEPARTEMEN HUKUM DAN HAK ASASI MANUSIA REPUBLIK INDONESIA NOMOR PHN.HN.03.05-73 TAHUN 2008 TENTANG PEMBENTUKAN DAN PEMBINAAN KELUARGA SADAR HUKUM DAN DESA/KELURAHAN SADAR HUKUM DENGAN RAHMAT TUHAN YANG MAHA ESA KEPALA BADAN PEMBINAAN HUKUM NASIONAL,     Menimbang      : bahwa untuk melaksanakan ketentuan pasal 17, pasal 18, pasal 20, pasal 30, pasal 35, pasal 36, dan pasal 37 sesuai perintah sebagaimana dimaksud dalam pasal 60 Peraturan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Nomor M.01-PR.08.10 Tahun 2006 tentang Pola Penyuluhan Hukum sebagaimana telah diubah dengan Peraturan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Republik Indonesia Nomor M.01-PR.08.10 Tahun 2007 tentang Perubahan Atas Peraturan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Nomor M.01-PR.08.10 Tahun 2006 tentang Pola Penyuluhan Hukum, perlu menetapkan Peraturan Kepala Badan Pembinaan Hukum Nasional tentang Pembentukan dn Pe...